Wednesday, February 13, 2013

.•´ ✿ º ☆.¸¸.•´¯`✿ 10 Cara Menggantikan Tenaga Yang Hilang Di Pejabat .•´ ✿ º ☆.¸¸.•´¯`✿




Kurang tenaga sepanjang hari? Kadang-kadang tidur yang terganggu boleh menjadi penyebabnya. Namun walaupun mendapat rehat yang cukup, diet, rutin olahraga atau pilihan gaya hidup juga boleh menjadi penyebab kekurangan tenaga.


Minum kopi atau susun atur (dekorasi) meja pejabat, ada kalanya juga boleh membantu atau mengganggu keupayaan tenaga anda. Agar tetap bersemangat dan bertenaga sepanjang hari, ikuti beberapa tip di bawah... Berita baiknya pula, tenaga anda boleh ditingkatkan atau dikembalikan menerusi 10 kaedah mudah.

1.Pengambilan magnesium
Mungkin anda telah mendengar nasihat, pastikan anda mengamalkan diet yang seimbang. Pemakanan yang seimbang boleh memastikan tubuh menerima vitamin dan mineral sepatutnya. Namun, sekiranya anda merasakan diri sentiasa keletihan, boleh jadi anda kekurangan magnesium. Pakar-pakar nutrisi berpendapat magnesium penting dan diperlukan untuk sekurang-kurangnya 300 tindak balas bio kimia dalam tubuh.
Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia, Jabatan Pertanian di Grand Forks, Nakota Utara mendapati, wanita yang kekurangan magnesium akan memiliki kadar degupan jantung yang lebih tinggi dan memerlukan lebih banyak oksigen untuk melakukan kerja-kerja fizikal. Kesannya, tubuh terpaksa bekerja lebih keras dan membuatkan anda lebih penat.
Pengambilan harian magnesium yang disyorkan untuk wanita adalah sebanyak 300 miligram manakala 350 miligram untuk kaum lelaki. Pengambilan makanan semula jadi seperti badam, kacang hazel, ikan dan bijirin penuh juga membantu.
 



2. Berjalan
Pada saat anda keletihan, anda masih boleh berjalan untuk meningkatkan tenaga tubuh. Pakar-pakar kesihatan berkata dengan meningkatkan aktiviti fizikal, secara semula jadinya tenaga dalam tubuh turut mengalami peningkatan. Tidak memerlukan banyak latihan mahupun peralatan, berjalan adalah sesuatu yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Beberapa eksperimen yang dijalankan oleh Robert Thayer dari Universiti California State menunjukkan, berjalan selama 10 minit bukan sahaja meningkatkan tenaga bahkan kesannya boleh bertahan selama dua jam. Apabila aktiviti itu diteruskan selama tiga minggu, tahap tenaga dan mood turut mengalami perubahan positif.



3. Tidur sebentar
Kajian membuktikan otak yang penat boleh menjejaskan tahap tenaga dalam tubuh. Tetapi, Institut Kesihatan Mental Nasional Amerika mendapati, tidur sebentar iaitu sekitar 60 minit boleh membantu mengubah kesan negatif dan mengekalkan apa yang telah dipelajari serta diserap otak.


4. Jangan tinggalkan sarapan pagi
Mereka yang mengambil sarapan pagi memiliki mood yang lebih baik dan penuh bersemangat serta bertenaga sepanjang hari. Berbuka selepas semalaman berpuasa dapat membekalkan tenaga yang diperlukan seharian.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal Nutritional Health, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, kecenderungan meninggalkan hidangan tetap boleh mengakibatkan seseorang terasa letih sepanjang hari.

5. Kemarahan dan tekanan
Pakar psikologi terkemuka, Paul Baard pernah berkata, salah satu perosak semangat terbesar seseorang adalah tekanan.
"Tekanan adalah hasil daripada keresahan. Keresahan akan menggunakan keseluruhan tenaga kita", tambah Baard yang merupakan seorang pakar psikologi sukan di Universiti Fordham, di Bronx, New York.
Tekanan boleh membuatkan anda terasa penat dari aspek mental dan fizikal biarpun anda menghabiskan sepanjang hari terlantar di atas katil. Tekanan pada tahap kronik mahupun tidak kronik boleh menjejaskan kadar tenaga yang seterusnya memberi kesan kepada produktiviti dan perasaan anda.
Akan tetapi, berita baiknya ialah kita boleh mengawal pembunuh tenaga ini dengan merancang aktiviti lebih rileks dalam kehidupan kita. Aktiviti senaman boleh menghilangkan kesan kimia tekanan dan kemarahan.
Selain itu, alternatif kepada senaman termasuklah mendengar muzik, membaca novel berunsur romantik atau sekadar bersembang dalam telefon.
 

6. Banyakkan minum air dan kurangkan alkohol
Anda mungkin sudah sedia maklum tentang perbezaan antara kelaparan yang disebabkan dahaga atau keperluan sebenar terhadap makanan. Tetapi tahukah anda kedahagaan juga boleh bertopengkan keletihan?
Adakalanya, dehidrasi yang amat sedikit pun boleh meninggalkan anda dengan perasaan letih dan penat. Pengarang buku, The Uncle Sam Diet yang juga seorang pakar nutrisi, Keith Ayoob, pernah berkata: "Jalan penyelesaiannya mudah sahaja – segelas air suam sudah memadai untuk memberi tenaga selepas senaman. Pada ketika itu, tubuh amat mendahagakan cecair."
Sebaliknya, jika anda mendapati diri sering berasa letih selepas memperoleh tidur mencukupi semalaman, alamatnya sudah tiba masanya anda mengurangkan pengambilan alkohol pada sebelah malam.


7. Banyakkan bijirin dan kurangkan gula
Apabila anda mengambil makanan manis, kandungan gula dalam darah akan meningkat dan memberi anda tenaga. Namun, apabila kandungan gula dalam darah merosot secara mendadak, ia boleh menjejaskan perasaan anda sekali gus.
Tahap tenaga anda akan bertambah secara perlahan-lahan apabila anda memilih makanan yang kaya dengan bijirin penuh. Ini bermakna anda dapat mengekalkan tahap konsistensi tenaga sepanjang hari.
Satu kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal Amerika, Clinical Nutrition mendapati, pemakanan yang kaya dengan bijirin penuh dapat membantu meningkatkan sensitiviti tubuh terhadap insulin dan membolehkan pembebasan secara perlahan tetapi stabil.

8. Snek
Snek hebat bermakna snek yang menggabungkan protein, sedikit serat dan lemak seperti biskut penuh bijirin atau dadih dipenuhi kekacang. Karbohidrat dan protein meningkatkan kadar tenaga manakala lemak pula mengekalkan tahap tenaga itu.
 



9. Hasilkan latte
Kafein yang digabungkan dengan kebaikan protein daripada latte rendah lemak boleh membekalkan anda dengan tenaga tambahan serta kalsium ekstra. Jika boleh, gabungkan juga dengan sedikit kacang badam sebagai hadiah bagi memanjakan diri sepanjang tahun baru ini.





10. Fungsi tiroid dan sel darah merah
Jika anda sentiasa terasa letih biarpun sudah memperoleh rehat yang mencukupi, adalah baiknya anda berbincang dengan doktor tentang alternatif yang boleh dicuba. Ujian darah untuk ketidakupayaan fungsi tiroid dan anemia adalah antara inisiatif yang boleh diambil.
Masalah tiroid merupakan satu isu bagi kaum wanita. Biasa berlaku selepas kelahiran bayi, masalah ini juga membelenggu mereka di peringkat peri menopaus. Ujian darah yang ringkas boleh mengenal pasti masalah ini dan andainya anda didiagnosis dengan keupayaan tiroid yang rendah, perubatan boleh menjadi penyelesaiannya.
Bagi kes anemia pula, pengurangan sel-sel darah merah bermakna tubuh anda kekurangan oksigen yang diperlukan untuk mengekalkan tahap tenaga. Disebabkan itu, anda mudah menjadi letih.



No comments:

Post a Comment